Monday, May 18, 2009

:.SeJenaK BerSama DaKwaH:.


Islam ruh dan jasad

Untuk mengislahkan ummah, kita perlu kembali kepada Islam dengan maknanya yg hakiki. Ummah tidak menyelami hakikat sebenar Islam. Para pendakwah pula muflis akhlak dan ibadah. Kitalah golongan pendakwah itu. Ibadah kita tidak disertai rasa cinta. Rukuk dan sujud semata-mata tunduk tanpa khusyuk dan tawadhu'. Puasa hanya sekadar berlapar dan dahaga. Bacaan Al-Quran tidak mengalirkan air mata. Dengan sebab inilah Imam Ghazali mengarang kitabnya Ihya' Ulumiddin. Ummah ketika itu berhajat kepada Islam yg sebenar. Islam secara ruh dan jasad. Ketika Al-Quds berada dalam genggaman tentera Salib, umat Islam pula berada dalam keadaan lemah dan hina. Imam Ghazali sedar penyakit yg menimpa ummah lalu menyediakan rawatan melalui kitabnya, Ihya. Maka lahirlah tokoh sehebat Nuruddin Zinki dan Solahuddin Al-Ayyubi. Pada hari ini, seorang lelaki berkata dengan penuh semangat, "Keadaan umat tidak akan berubah melainkan dengan kemunculan seorang pemimpin sehebat Solahuddin Al-Ayyubi." [1] Lalu seorang yg pakar dengan ilmu dakwah menjawab, "Kalaulah Solahuddin Al-Ayyubi muncul pada hari ini, tentu beliau akan dijual kepada musuh. Solahuddin Al-Ayyubi tidak keseorangan pada zamannya, bahkan beliau merupakan produk tarbiyyah dan produk masyarakat yg hebat. Daripada masyarakat dan persekitaran inilah, munculnya Solahuddin Al-Ayyubi!" Masyarakat yg hebat akan melahirkan individu yg hebat. Masyarakat yg bangsat akan melahirkan individu yg bangsat. Rawati ruh kita. Kita rawati masyarakat.




Nasihat


Seorang pendakwah perlu memberi nasihat dan menerima nasihat. Hinakan diri untuk menerima nasihat hatta dari seorang gila di jalanan. Sebelum memberikan nasihat kepada orang lain, hadirkan dalam hati anda bahawa orang tersebut lebih mulia daripada anda. Susah bukan? Bersedialah untuk sebarang kemungkinan jika dia tidak menerima nasihat anda. Jangan takut kepada celaan orang yg mencela. Dan bersungguhlah untuk menasihatinya lagi. Jangan juga membuatkan orang yg dinasihati berasa dirinya mulia. Kerana jiwa manusia kebiasaannya tidak akan menerima nasihat dalam keadaan merasakan dirinya mulia. Secara peribadi, saya berpandangan bahawa nasihat atau teguran kepada orang yg melakukan maksiat di jalanan tidak sepatutnya dipanjang-panjangkan. Cukup dengan sekitar 30 saat dan minta izin untuk berlalu pergi. Kerana tujuan asal dia berada di situ bukan untuk mendengar tazkirah anda. Tazkirah yg berjela-jela akan menjemukan dan mengganggunya. Kecuali jika dia yg memohon penjelasan. Namun, jika anda punya kuasa maka gunakannya bersesuaian dengan keadaannya. Jangan mengiakannya dan jangan melampaui batasnya.




Mengambil manfaat dari setiap yg berfaedah


Kebijaksanaan umpama barang yg tercicir milik orang beriman, sesiapa yg menemuinya dialah yg paling berhak. Setiap perkara yg berfaedah perlu dimanfaatkan walaupun berasal dari bukan Islam. Pendakwah perlu tahu beza antara mengambil faedah daripada bukan Islam dan tasyabbuh dengan bukan Islam. Pendakwah perlu melihat dengan kacamata syara'. Adakah syara' memujinya atau mengejinya. Lalu, ambillah faedah daripada bukan Islam sekadar yg diharuskan syara'. Manfaatkan setiap peluang yg melintas di hadapan! Pendapat yg mewajibkan untuk mengambil setiap amalan barat dengan alasan mereka telah mencapai kemajuan adalah pendapat yg batil. Begitu juga dengan pendapat yg mengatakan barat adalah musuh kita maka jangan manfaatkan apa-apa pun daripada mereka.




Niat ikhlas untuk menyampaikan kebaikan kepada semua


Timbul persoalan, "Adakah diri anda berasa suka untuk menyampaikan kebaikan walaupun kepada orang yg menyakiti dan mengutuk anda?" Jika jawapannya, "Ya", maka itu petanda kepada keikhlasan niat anda dalam berdakwah di jalan Allah. "Adakah dakwah anda umum kepada semua? Atau sekadar kepada mereka yg sehaluan dengan anda?" Jika jawapannya, "Umum kepada semua", maka anda adalah pendakwah yg sebenar. Pendakwah perlu sentiasa menghadirkan niat di dalam hati untuk menyampaikan hidayah kepada semua. Hatinya tidak boleh sunyi daripada niat ini dalam apa jua keadaannya. Sabda Baginda, لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه "Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri." Riwayat Bukhari dan Muslim.

No comments: