Firman Allah dalam surah Yusuf ayat 2, Sesungguhnya Kami turunkan kepada engkau al-Quran yang berbahasa Arab, supaya kamu fikirkan. Firmannya lagi yang bermaksud, Inilah Kitab ( al-Quran ) yang Kami turunkan kepada engkau, penuh keberkatan supaya mereka perhatikan ayat-ayatnya dan supaya orang-orang yang berakal dapat mengambil pelajaran. ( As-Shad: 29 ).
Kedua-dua firman Allah di atas sudah memadai untuk menggambarkan betapa besarnya fungsi al-Quran di dalam kehidupan manusia. Ia tidak hanya untuk dibaca serta dihafal semata-mata, tetapi yang lebih penting dan utama, al-Quran harus dijadikan sebagai petunjuk serta difikirkan segala makna dan struktur kata-katanya yang terkandung pada setiap halaman.
Hal ini bererti, al-Quran tidak hanya diturunkan untuk diambil manfaat pahalanya dari segi membaca dan menghafalnya sahaja, bahkan manfaat yang lebih berharga dan bernilai ialah menjadikan al-Quran sebagai petunjuk untuk difikir serta direnungi akan setiap lafaz serta struktur ilmu-ilmunya. Justeru itu tidak syak lagi, falsafah inilah yang telah dipegang oleh generasi salaf-as soleh demi memastikan umat Islam terus berada di hadapan, sama ada dari segi moral kehidupan mahupun dari aspek ilmu pengetahuan.
Metode yang diwarisi dari generasi salaf ini berterusan diamalkan oleh sebahagian besar umat Islam sehingga terbentuknya kegemilangan Islam di Baghdad dan Sepanyol (Andalus) untuk satu tempoh sejarah yang amat panjang.
Tokoh-tokoh besar Islam sejak generasi salaf hingga ke era puncaknya di pintu masuk Eropah (Sepanyol), telah memperlihatkan bagaimana al-Quran harus digunakan sebagai petunjuk yang agung. Penghafalan dan penghayatan al-Quran telah diadun dengan cukup baik demi membuktikan bahawa al-Quran tidak hanya simbol kepada ibadah khusus semata-mata.
Tetapi jauh lebih syumul daripada itu, al-Quran merupakan sumber ilmu pengetahuan fizikal yang amat penting di samping struktur dalamannya (susunan surah, ilmu tersirat serta sirah-sirahnya) merupakan sumber metodologi pemikiran yang harus dikuasai oleh umat Islam, jika mereka berhasrat untuk melihat kegemilangan Islam tercipta sekali lagi.
Hal ini benar-benar telah diisyaratkan oleh Allah, sebagaimana firman-Nya, Hai manusia! Perhatikanlah al-Quran yang penuh dengan ilmu hikmah dan kebijaksanaan. ( Yasin : 1-2).
Memerhati al-Quran tidak terbatas dalam konteks lafaznya semata-mata, tetapi lebih jauh dan dalam daripada itu, segala struktur serta susunan ilmu-ilmu yang terkandung di dalamnya mestilah dikaji dan diselidiki secara serius tanpa terkeluar daripada garis dan etika penafsiran golongan salaf as-soleh.
Dengan kata lain, al-Quran tidak hanya dilihat dalam aspek penghafalan dan pembacaan untuk ibadah khusus sahaja, akan tetapi yang lebih penting, pemikiran umat Islam dalam melihat dunia dan akhirat harus dibentuk daripada corak serta struktur ilmu-ilmu yang telah disusun secara sistematik di dalam al-Quran itu sendiri.
Dan inilah yang telah dibuktikan oleh Imam Syafie ketika membangunkan teori usul fikahnya untuk menggali serta mengistinbat hukum yang terkandung di dalam al-Quran. Kaedah ini benar-benar menggambarkan pengamatan beliau yang amat tajam terhadap struktur ilmu yang terkandung di dalam setiap helaian al-Quran itu.
Sebagai pembangun ilmu usul fikah sebagaimana yang ditulis di dalam kitab ulungnya Ar-Risalah, Imam Syafie telah membuktikan bahawa al-Quran tidak hanya diselidiki dan dikaji dalam aspek makna lafaz-lafaznya sahaja, bahkan beliau telah melihat al-Quran dalam konteks yang jauh lebih luas daripada itu, hatta struktur serta rangka kasar ilmu-ilmu yang mendasari al-Quran itu turut sama dikaji dan diselidikinya secara jitu serta mendalam.
Justeru itu hingga saat ini ilmu usul fikah telah memberi dampak yang tidak ternilai kepada pengurusan hidup umat Islam. Malahan para ulama dengan menggunakan kaedah beliau itu sudah berupaya untuk menyelesaikan pelbagai persoalan yang tidak pernah wujud pada zaman Rasulullah bagi menetapkan hukumnya seperti isu klon, insurans, rokok, mendermakan organ tubuh orang yang telah meninggal, bekerja di bank-bank konvensional, zakat gaji bulanan, masalah mencukur janggut dan bermacam-macam lagi yang tidak mungkin disebut kesemuanya dalam ruang yang amat terbatas ini.
Lantaran itu sikap Imam Syafie ini, benar-benar menggambarkan manifestasi kefahamannya yang mendalam terhadap kehendak al-Quran seperti firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 138 dan Az-Zukhruf ayat 3 yang bermaksud, Bukanlah al-Quran itu semata-mata perkhabaran yang diada-adakan, bahkan ia membenarkan kitab yang di hadapannya dan menerangkan tiap-tiap sesuatu, lagi memberi petunjuk dan rahmat, bagi kaum yang mahu beriman. Dan Tidakkah mereka memperhatikan isi al-Quran ini? Ataukah hati mereka terkunci? Apabila Allah sudah menerangkan bahawa al-Quran merupakan kitab yang `menerangkan tiap-tiap sesuatu', maka sudah pastilah tiada sesuatu ilmu pun yang terlepas daripada dibicarakan oleh al-Quran.
Justeru itu sama ada sesuatu ilmu itu berorientasikan kepada analitikal seperti sains ataupun yang berorientasikan kepada subjektikal seperti falsafah dan pemikiran, sesungguhnya semua itu telah tercakup di dalam al-Quran, baik dalam keterangan yang nyata (tersurat) atau pun tidak (tersirat). Lantaran itulah Allah menggesa agar hamba-hambanya menggunakan akal yang telah dianugerahkan-Nya untuk memikirkan dan mengeluarkan pelbagai ilmu pengetahuan yang terkandung di dalam al-Quran itu sendiri. Seperti Firman-Nya dalam surah Muhammad ayat 24, Kami turunkan al-Quran kepada engkau, supaya engkau terangkan kepada manusia, apa-apa yang diturunkan kepadanya, mudah-mudahan mereka itu memikirkannya.
Tegasnya di sini, apabila al-Quran disempitkan peranannya hanya sekadar untuk dihafal dan dibaca bagi menunaikan ibadah-ibadah khusus umat Islam semata-mata, dan mengabaikan peranan utama mengapa al-Quran diturunkan, maka umat Islam akan bertambah jauh serta tercicir dari arus pembentukan ilmu pengetahuan. Dan akhirnya, kita akan memisahkan antara agama dan dunia, di samping umat Islam akan terus berkiblat dan bertaklid buta kepada teori-teori yang diciptakan oleh tokoh-tokoh pemikir barat.
Apabila Plato menulis Republik bersama cita-citanya untuk melihat sebuah negara khayalan Utopia, kita merasakan bertapa unggulnya pemikiran manusia seperti beliau, lantaran itu kita telah terlupa, kerana khayalan Plato hanyalah sebuah idea tanpa garis panduan yang jitu sedangkan al-Quran telah memberi petunjuk bagaimana untuk membentuk sebuah negara yang diselubungi dengan keadilan dan kesaksamaan sosial yang seimbang dari segi rohani dan jasmaninya.
Begitu juga apabila Sigmund Freud membangunkan teori psiko analisis dan Victor Frank dengan teori Logo terapinya untuk menyelesaikan masalah mental dan jiwa, kita terlalu mengaguminya tanpa terlebih dahulu kita semak dari kaca mata al-Quran. Bahkan pada saat ini ketika Edward de Bono, Anthony Robbins dan Stephen R. Covey memperkenalkan gagasan-gagasan pemikiran mereka, kita seolah-olah takjub bahkan tertanya-tanya bagaimana mungkin manusia seperti mereka berupaya untuk berfikir sehingga ke tahap sedemikian. Dan akhirnya tanpa disedari kita telah bertaklid dan meninggalkan al-Quran sebagai sebuah kitab yang merangkumi segala petunjuk kehidupan (dinul hayah). Sedangkan jika umat Islam mampu untuk merubah dan memperluaskan persepsi mereka terhadap peranan al-Quran yang sebenar, insya-Allah mereka pasti berupaya membangunkan teori-teori yang jauh lebih baik daripada tokoh-tokoh pemikir barat tersebut. Seperti mana yang telah dilakukan oleh tokoh-tokoh besar pemikir Islam terdahulu.
Ekoran itu umat Islam perlu merombak kembali persepsi mereka terhadap fungsi sebenar al-Quran itu, di samping mereka harus berani memikirkan ayat-ayat Allah tersebut dan mengeluarkan gagasan-gagasan yang terkandung di dalamnya demi membangunkan kembali agama Allah di muka bumi ini.
Tetapi sayang, kita menjadi semacam ini disebabkan kebingungan kita sendiri dalam melihat peranan al-Quran. Pengabaian seperti ini tidak mungkin membangunkan fikiran serta penghayatan kita terhadap pentingnya al-Quran yang berfungsi untuk mengurus keseluruhan hidup manusia itu.
Kembali kepada pembicaraan asal kita, selagi al-Quran tetap dibataskan hanya untuk dihafal serta dibaca semata-mata dan bukan untuk difikir dan diperhatikan, maka kita tidak harus terus-menerus bersedih jika maruah umat Islam masih diperkotak-katik oleh musuh-musuhnya. Dan mengimpikan kecemerlangan Islam sekali lagi dalam kondisi kita yang masih sebegini dan sukar untuk berubah, merupakan kerja yang sia-sia serta perlu diperbetulkan.
Maka tidak syak lagi, kata-kata Humbold yang popular hanya sekadar menjadi penghibur hati kita , tentang betapa unggulnya tokoh-tokoh Islam terdahulu tetapi terlalu sukar untuk kembali direalisasikan.
MUHAMMAD AZLI SHUKRI, tenaga pengajar di Ma'ahad Tahfiz Dar al-Hikmah, Ampang.
Friday, June 13, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment