Wednesday, June 11, 2008

5 NASIHAT BERMASYARAKAT

Abu Hurairah pernah mendengar Rasulullah saw berwasiat kepadanya, “Siapakah yang sudi mengambil daripadaku lima wasiat ini, lalu mengamalkannya atau mengajarkannya kepada orang yang mahu mengamalkannya?’

Abu Hurairah segera menyambut kata-kata Rasulullah dengan ucapan, “Saya, ya Rasulullah!”

Maka baginda menjabat tangan Abu dan menghitung lima kali seraya bersabda,
Jagalah dirimu daripada perbuatan yang haram nescaya engkau akan menjadi orang yang paling baik dalam beribadah.
Berpuashatilah dengan kurnia yang Allah berikan kepadamu nescaya kamu akan menjadi orang yang paling kaya.
Berbuat baiklah kepada tetanggamu, nescaya kamu akan menjadi mukmin yang sejati.
cintailah manusia sebagaimana kamu mencintai dirimu sendiri, nescaya kamu akan menjadi muslim yang sempurna.
Dan janganlah banyak bergurau kerana banyak bergurau itu akan mematikan hati.
(Riwayat Muslim)

Dalam hidup ini, kita memerlukan arahan-arahan praktis yang dapat diamalkan dengan mudah namun memberikan kesan yang besar. Arahan ini kita jadikan pegangan yang berterusan dalam menghadapi pancaroba kehidupan. Rasulullah saw sering memberi panduan yang berharga sedemikian rupa. Semuanya disesuaikan dengan permintaan para sahabat atau sesuai dengan kadar potensi orang yang baginda ajak berbicara.

Nasihat atau wasiat yang baginda sampaitan walaupun ringkas namun padat serta praktikal. Seperti ungkapan baginda, “Jangan marah”, “Permudahkanlah jangan mempersulitkan” atau “Mulaikanlah dari dirimu sendiri”. Apa sahaja yang baginda ungkapkan sentiasa terbukti kebenarannya dalam sepanjang sejarah hidup manusia.

Setiap muslim dan muslimah yang baik bukan mereka yang mengasingkan diri daripada masyarakat sekitarnya. Sehingga mereka mewujudkan kelompok yang ekslusif. Muslim dan muslimah tidak berhak menunding jari tehadap masyarakat sekeliling sebagai masyarakat ‘fasiq’ atau ‘fasad’ sebelum mereka cuba memperbaiki masyarakat tersebut. Rasulullah saw pernah bersabda:
“Mukmin yang bergaul di tengah-tengah masyatakat dan sabar atas gangguannya lebih baik daripada muslim yang tidak bergaul dengan masyarakat dan tidak sabar terhadap gangguan mereka.”

Oleh itu sebagaimana lima nasihat daripada Rasulullah di atas, memberikan arahan kepada kita untuk hidup dalam masyarakat. Nasihat ini sangat penting, berharga dan berguna ketika berinteraksi dengan masyarakat. Nasihat ini mestilah diamalkan serta disampaikan kepada saudara sesama muslim di mana jua mereka berada.
1. Menjaga Diri Daripada Perbuatan yang Haram

“Jagalah dirimu daripada perbuatan yang haram nescaya engkau akan menjadi orang yang paling baik dalam beribadah.”

Kunci pergaulan Islam di tengah masyarakat adalah memelihara siri daripada perkara yang diharamkan oleh Allah. Kaum muslim boleh melakukan apa sahaja perkara selagi ia tidak haram ataupun syubhat. Perkara syubhat juga perlu dijauhi kerana ia akan menyeret kepada perkara yang haram. Apabila perkara yang haram telah ditinggalkan, yang syubhat pula dihindari, sanggup merendam hawa nafsu serta membentengi diri daripada tipudaya syaitan maka itulah jalan menuju taqwa. Jalan yang akan menemukan kita dengan orang-orang soleh yang dijanjikan Allah pelbagai bentuk ganjaran kenikmatan.

Perkara terpenting dalam bergaul di tengah masyarakat adalah tidak menjadi ‘pak turut’, iaitu orang yang turut sama hanyut dalam arus tingkah laku masyarakat yang melanggar batas-batas syara’. Seorang muslim yang taat laksana seorang doktor. Di samping merawat pesakitnya, ia mestilah sentiasa bersiap sedia di hospital menjaga dirinya daripada dijangkiti penyakit pesakitnya.

Di hadapan para sahabat, Rasulullah saw pernah bersabda: “Janganlah kamu menjadi seorang yang ima’ah.”
Para sahabat bertanya, “Apakah yang dimaksudkan dengan ima’ah, ya Rasulullah?”
Baginda menjawab, “Ima’ah itu adalah orang yang berkata: ‘saya adalah sebagaimana keadaan masyarakat saya. Bila mereka baik saya turut baik, bila mereka buruk, saya ikut buruk,’ tetapi hendaklah kamu semua bersikap teguh pendirian. Iaitu apabila masyarakat itu baik hendaklah kamu baik namun apabila mereka melakukan keburukan tinggalkan keburukan mereka itu.” (HR. At-Tarmizi)

2. Puas dan Redha dengan Kurnia yang Dilimpahkan Allah

“Berpuashatilah dengan kurnia yang Allah berikan kepadamu nescaya kamu akan menjadi orang yang paling kaya…”

Wasiat kedua ini menjelaskan kepada kita tentang hakikat kaya yang sebenar. Kaya bukanlah bererti memiliki harta melimpah ruah, rumah tersergam, perabot mewah, kenderaan mewah atau perhiasan yang begemerlapan. Tetapi hakikat kekayaan yang hakiki terletak pada lubuk hati. Ia memerlukan ketenteraman dan ketenangan jiwa kerana puas dengan setiap kurnia yang diberikan oleh Allah swt, sehingga ia tidak lagi memburu dan rakus terhadap harta lalu menghalalkan segala cara bagi memperolehinya.

Kita haruslah menyedari bahawa nikmat dan kurnia Allah tidak terbatas kepada harta atau berbentuk kebendaan semata-mata. Malah banyak kurniaan Allah Yang tidak dapat dinilai oleh mata kasar manusia. Contohnya bila kita melihat mereka yang sakit dan tak berdaya, kita akan merasakan nikmat sihat amat penting berbanding kekayaan harta benda. Belum lagi kita menilai nikmat Iman dan Islam yang mampu menyelamatkan kita daripda seksaan neraka. Tentulah ini tak mungkin dapat dinilai atau diukur dengan timbangan kebendaan. “Ya Allah yang Maha Pemberi Nikmat, sungguh besar nikmat yang Engkau telah berikan kepada kami. Ya Allah kekalkanlah nikmatMu ini!”


3. Berbuat Baik Kepada Jiran Tetangga

“Berbuat baiklah kepada tetanggamu, nescaya kamu akan menjadi mukmin yang sejati.”

Rasulullah saw memerintahkan kita agar berbuat baik kepada orang yang paling hampir dengan rumahnya, iaitu jiran. Jiran paling berhak mendapat perlakuan baik kita kerana mereka akan menjadi asas utama masyarakat Islam yang kita bentuk. Maka ajaran Islam mengatur masalah rumah tangga secara terperinci termasuk kewajipan berinteraksi dengan baik terhadap jiran tetangga. Malah Rasulullah saw menggolongkannya kepada bukti keimanan seorang mukmin terhadap Allah dan Hari Akhirat.

“Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah ia memuliakan jiran tetangganya.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Begitu pentingnya berbuat baik dengan jiran tetangga sehingga Rasulullah saw bersabda,
“Sentiasa Jibril membisikkan pesan kepadakku untuk berbuat baik kepada jiran tetangga, sehingga aku mengira tetangga itu berhak menjadi ahli waris.”


4. Mencintai Sesama Islam

“Cintailah orang lain, sebagaimana kecintaan terhadap dirimu sendiri, tentu kamu akan menjadi muslim yang sempurna.”

Prinsip dasar ajaran Islam adalah cinta kepada Allah dan Rasulnya. Mencintai orang lain kerana Allah merupakan kesinambungan logik daripada dasar tersebut. Hanya dengan menerapkan kecintaan kepada manusia perlulah dilihat kepada siapa cinta itu dicurahkan. Manusia yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw itu adalah sesama Muslim sebagaimana yang disabdakan baginda dalam hadis lain,
“Tidak beriman salah seorang di antara kamu sehingga mencintai saudaranya sama sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Terhadap orang bukan Islam, tidak boleh ada hubungan cinta selain daripada seruan (dakwah) ke jalan Allah. Sebagai pendakwah pula mewajibkan kita bersikap lemah lembut kepada mereka dengan tujuan memperlihatkan kemuliaan akhlak Islam. Sikap keras terhadap objek dakwah merupakan kekeliruan yang akan mengagalkan misi dakwah itu sendiri.


5. Tidak Banyak Bergurau

“Dan janganlah banyak bergurau kerana banyak bergurau itu akan mematikan hati.”

Keceriaan dan kegembiraan merupakan tuntutan hidup yang sihat dan bahagia. Islam sangat menganjurkan umatnya untuk bersikap riang gembira, tidak kaku dan sentiasa bersikap optimis. Rasulullah saw mengatakan bahawa senyuman terhadap saudara seaqidah merupakan perbuatan ma’ruf dan tergolong dalam ibadah. Antara sabda Rasulullah saw yang lain:
“Janganlah kamu meremehkan yang ma’ruf meskipun hanya dengan memberi senyuman kepada saudaramu.”
“Senyuman terhadap saudaramu adalah sedekah.”

Namun hal ini bukan bererti kita harus banyak bergurau. Gurauan adalah ucapan yang diada-adakan yang seringkali terjerumus dalam perlecehan dan seumpanya. Apabila perlecehan ini berkaitan dengan masalah agama dan perlara yang berkaitan maka kita akan berdosa dan berhak mendapat kemurkaan Allah. Manakala jika gurauan itu terseleweng lalu memperlecehkan sesama manusia maka ia juga berdosa kerana mencemarkan kehormatan orang lain. Rasulullah saw bersabda, “Allah melaknat orang-orang yang membuat orang lain tertawa.”

Itulah lima pedoman dalam bergaul di tengah masyarakat. Setiap muslim yang mengamalkannya tentu akan berjaya di dunia dan akhirat. Di dunia ia akan menjadi muslim sejati yang dicintai oleh insan sedangkan di akhirat ia akan terhindar daripada kemurkaan Allah swt.

No comments: